Skuad Oranje buru tuah Piala Dunia 2010
JOHANNESBURG - Dirk Kuyt yakin Belanda mampu menamatkan penantian untuk menjulang trofi Piala Dunia.
Belanda yang tewas dua kali dalam aksi final edisi 1974 dan 1978, kini berpeluang untuk muncul juara buat kali pertama apabila mereka berdepan Sepanyol pada final Piala Dunia 2010, awal pagi Isnin ini.
Kuyt berkata, percubaan kali ketiga Belanda itu akan menghadirkan tuah buat skuadOranje.
"Selepas sekian lama, kami akhirnya layak juga ke final. Kami semakin hampir untuk melakar sejarah.
" Ini kali ketiga Belanda ke final dan kami perlu menang kali ini," kata penyerang Liverpool itu.
Kuyt berkata, dia seakan- akan tidak percaya selepas wisel penamat dibunyikan ketika Belanda menewaskan Uruguay 3-2 pada separuh akhir awal pagi kelmarin.
"Apa yang berlaku sukar dipercayai. Nampak macam tidak benar sahaja. Memang sebelum kejohanan, kami rasa yang kami memiliki kualiti untuk menang tetapi kini kami berasa cukup luar biasa," jelas Kuyt.
Sementara itu, bagi penjaring terbanyak Belanda, Wesley Sneijder, dia begitu teruja untuk menjulang trofi Piala Dunia selepas mencipta kejayaan treble bersama Inter Milan musim lalu.
Dalam masa yang sama, Sneijder turut berpeluang memenangi anugerah Kasut Emas selepas dia kini berkongsi lima gol dengan penyerang Sepanyol, David Villa.
"Saingan sengit terpaksa kami harungi sehingga detik penghujung perlawanan. Tetapi pada final nanti, kami akan gunakan sepenuhnya peluang itu.
"Kami sudah semakin hampir dan tiada apa yang lebih besar selain memenangi Piala Dunia," kata Sneijder lagi. - Agensi
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.